Wednesday, December 12, 2012

Buah fikiran: Persediaan menghadapi bencana - konflik kemanusiaan

Ada pelbagai situasi bencana yang memerlukan tindakan yang berbeza. Contohnya situasi banjir memerlukan perpindahan segera manakala situasi peperangan antarabangsa memerlukan tempat persembunyian yang selamat. Walaubagaimanapun bagi menghadapi apa jua jenis bencana, persediaan dan bekalan adalah penting.

Bencana yang berbentuk semulajadi adalah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, taufan dan sebagainya. Kelebihan Malaysia adalah terlindung dari bencana seperti gempa bumi dan gunung berapi akan tetapi keadaan Malaysia yang hampir dikelilingi oleh lautan membuatkan ancaman tsunami menjadi satu kemungkinan. Sungguhpun begitu kawasan pantai timur lebih terdedah dan berisiko tinggi kepada tsunami berbanding di kawasan Selat Melaka.

Bencana yang lebih berkemungkinan malah lebih berbahaya adalah konflik kemanusiaan seperti peperangan, rusuhan dan sebagainya. Malangnya negara kita pernah mengalami kesemuanya. Peperangan domestik (Komunis), peperangan antarabangsa (penjajahan British, Jepun, konfrantasi Indonesia), rusuhan (Memali, 13 Mei, Bersih) malah tidak mustahil kita akan mengalaminya sekali lagi. Dengan keadaan politik yang senantiasa diuji dari dalam negara dan luar serta perpecahan dalam masyarakat yang makin diraikan, sukar untuk menidakkan bahawa konflik domestik akan terjadi. Manakala konflik negara kita dengan negara lain agak sukar memandangkan negara kita dihormati oleh negara-negara sahabat. Akan tetapi, jikalau terjadi konflik domestik, ianya akan membuka ruang kepada konflik antarabangsa di atas nama "hak asasi", "demokrasi" dan sebagainya.

Kali ini saya akan cuba mendalami persediaan bagi menghadapi konflik kemanusiaan. Sungguhpun begitu ini juga boleh disesuaikan dengan bencana yang lain.

Antara persediaan yang perlu ada ialah:
1) Tempat berkubu.
Ini bukanlah "kubu" dalam erti kata binaan seperti kubu pertahanan, akan tetapi ia adalah tempat yang sesuai untuk berlindung ketika konflik. Rumah anda ketika ini mungkin sesuai sebagai tempat berkubu. Sesuai atau tidak sesuatu tempat itu menjadi tempat berlindung bergantung kepada faktor geografi, kejiranan, perhubungan jalan darat dan yang agak penting, kemahiran anda tentang selok-belok sekitar kawasan tersebut.

Faktor geografi adalah seperti kedudukan tempat berkubu tersebut. Adakah di kawasan bukit, pergunungan, pantai dan sebagainya. Kawasan tanah tinggi tidak dinafikan mempunyai kelebihan dari segi memerhatikan persekitaran dalam jarak yang jauh. Malah jika menggunakan binokular, jarak yang lebih jauh boleh diperhatikan. Akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu difikirkan. Jika berada dalam konflik peperangan domestik, kita mungkin hanya akan terdedah kepada ancaman senjata buatan sendiri dan tidak begitu moden seperti pedang, parang, panah, senapang/pistol buatan sendiri. Ancaman juga berkemungkinan besar datang dari orang-orang yang kurang terlatih dalam seni peperangan. Masalah utama adalah untuk membezakan siapakah kawan dan siapakah yang menjadi ancaman kerana konflik adalah di antara sesama kita.

Berbeza dengan situasi konflik antarabangsa. Sekiranya peperangan berbentuk antara negara, kawasan tinggi memungkinkan tempat berkubu tersebut akan lebih terdedah dengan pengintipan dari udara mahupun serangan udara. Dan musuh juga mempunyai keupayaan tinggi seperti alat untuk mengesan teropong (sniper scope detector, namun boleh juga mengesan binokular), "thermal detector" dan sebagainya. Musuh juga lebih terlatih dalam seni peperangan.

Ini juga adalah berkait rapat dengan kejiranan. Suatu ketika dahulu penduduk sesebuah kawasan tanpa mengira perbezaan ideologi politik akan senantiasa bekerjasama dalam hal-hal berkaitan dengan kejiranan seperti kenduri-kendara dan sebagainya. Ini menyebabkan sebarang konflik domestik mudah padam kerana sifat kemanusiaan masih tebal dalam diri. Ini juga disebabkan kerana di negara ini bangsa Melayu itu mestilah beragama Islam, maka sifat pemaaf muslim itu cepat meredakan konflik sesama bangsa. Ini agak berbeza jika konflik domestik itu berdasarkan perkauman. Mungkin kerana faktor provokasi berpanjangan dan dendam yang masih ada terhadap peristiwa lampau. Dalam hal ini kejiranan tempat anda memainkan peranan. Sekiranya anda seorang muslim dan tinggal di kawasan yang majoritinya bukan muslim, risiko untuk terjebak dalam kancah perbalahan itu lebih besar kerana dalam situasi konflik kaum/agama, sentimen akan memainkan peranan yang utama dan sifat curiga akan menebal.

Namun jika konflik bersifat antarabangsa, ada kemungkinan kebanyakan warga bersatu demi mempertahankan bumi tercinta. Sifat kenegaraan, jika disemarakkan dengan betul mungkin boleh membangkitkan perasaan ingin berjuang. Maka pendapat saya konflik antarabangsa di negara ini hanya akan terjadi sekiranya konflik domestik sudah tidak terkawal. Ini sudah dibuktikan di Iraq dan juga di Libya di mana campurtangan antarabangsa untuk meranapkan sesebuah negara dibajai oleh konflik dalaman. Di Mesir pula konflik dalaman lebih hebat hinggakan tidak perlu campurtangan kuasa asing secara berdepan untuk meranapkan negara itu (sudah semestinya konflik domestik itu dibiayai oleh kuasa asing, tetapi ini adalah secara rahsia/covert).

Oleh itu adalah penting untuk kekal hidup harmoni walaupun berbeza idea. Tapi di zaman sekarang masyarakat akan senantiasa dipecah-pecahkan mengikut pelbagai tajuk (parti politik, negeri, agama, bangsa, pasukan bola kegemaran, suku dsb) maka situasi dahulu dan sekarang sudah tidak sama. Sekarang sudah ada orang islam mengkafirkan orang islam yang lain kerana berlainan parti.

Berbalik kepada tajuk (saya memang sentiasa terkeluar dari tajuk...). Perhubungan jalan darat juga penting dalam memilih tempat berkubu. Ini kerana ada masanya kita akan terpaksa melarikan diri sekiranya konflik berjangkit ke kawasan kejiranan kita. Sekiranya kita berkubu di kawasan yang terpencil, kemungkinan kita akan hanya ada 1-2 jalan keluar dengan kenderaan dan jika jalan-jalan tersebut terletak di kawasan berisiko tinggi, maka mungkin kita akan terpaksa menggunakan jalan-jalan lain yang tidak boleh ditembusi oleh kenderaan. Ini akan menyebabkan kita terpaksa meninggalkan bekalan-bekalan yang penting seperti ubat-ubatan, makanan dan sebagainya.

Jalan-jalan keluar ini memerlukan anda mahir tentang selok-belok kejiranan. Tidak merugikan sekiranya mulai sekarang kita pergi ke tempat kerja dengan mencuba jalan yang baharu. Juga bersiar-siar di sekitar kejiranan dan kawasan berhampiran untuk mengenali dengan lebih lanjut kawasan sekitar. Lebih mudah, beli sahaja alat GPS dan masukkan peta Malaysia yang baharu. Sekiranya keadaan konflik memerlukan kita untuk melarikan diri, sekurang-kurangnya kita ada petunjuk ke mana kita boleh pergi demi kelansungan hidup.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, tempat berkubu boleh jadi rumah anda sekarang, kebun durian di kampung, ladang kambing anda dan sebagainya. Selain dari faktor-faktor di atas, pastikan tempat berkubu anda mudah untuk dipertahankan serta mudah untuk ditinggalkan jika perlu.

Tempat berkubu juga tidak semestinya sebuah bangunan kepunyaan anda. Ada juga cadangan dari rakan yang mengatakan bahawa untuk cuba berlindung di kem tentera, kawasan pengasingan (contohnya kampung-kampung baru, di mana didirikan untuk mengasingkan bangsa-bangsa yang berbalah ketika konflik antara kaum dahulu), khemah pelarian (sekiranya konflik merebak dari domestik kepada antarabangsa). Namun masih ada kebarangkalian yang perlu dikaji seperti:

Kem-kem tentera mungkin tidak akan menerima sebarang orang awam yang bukan berkaitan dengan mereka. Semestinya ketika konflik domestik mereka berada dalam keadaan waspada dan akan mencurigai kehadiran pihak tidak berkenaan. Kem tentera juga akan terdedah dengan serangan tak kira ketika konflik domestik mahupun konflik antarabangsa. Mungkin juga pihak tentera akan menguatkuasakan arahan "shoot on sight" kepada orang luar demi melindungi kawasan berkepentingan.

Kawasan pengasingan pula mungkin didirikan hanya untuk kes-kes berunsur perkauman. Untuk konflik antarabangsa pula pihak kerajaan mahupun tentera pasti tak cukup tangan untuk melaksanakan kawasan pengasingan ini. Maka khemah pelarian lebih berkemungkinan untuk didirikan dalam situasi ini.

Walaupun begitu, faktor negara jika perlu diambil kira dalam perlaksanaan khemah pelarian ini. Kita perlu ingat bahawa negara kita dikelilingi oleh negara sekular mahupun kafir. Pemberontakan islam di Thailand serta Filipina memungkinkan muslim di negara ini akan menghadapi kesukaran sekiranya khemah pelarian berada di negara tersebut. Tak lupa juga umat islam Rohingya yang sehingga kini sedang cuba dihapuskan di Myanmar. Manakala Indonesia pernah cuba men"ganyang Malaysia" suatu ketika dahulu dan sehingga kita negara kita dan mereka sering diapi-apikan dengan pelbagai provokasi demi melemahkan persaudaraan sesama dua negara.

Silakan komen untuk pandangan anda.