Showing posts with label rusuhan. Show all posts
Showing posts with label rusuhan. Show all posts

Saturday, May 11, 2013

PRU13: Satu analisa peribadi - Pengundi Hantu.

As salam,

Sudah lama saya tak menulis di dalam blog ini. Kesibukan terhadap berbagai2 perkara. Alhamdullillah Malaysia baru sahaja tamat PRU. Samada keputusannya seperti yang kita jangkakan / harapkan ataupun tidak, itu adalah pendapat masing-masing.

Tidak dapat tidak, PRU mempunyai kaitan dengan kestabilan sesebuah negara. Ada negara yang selepas PRU tapi huru-hara. Ada negara yang selepas PRU, kerajaan yang dipilih ditumbangkan dengan pelbagai cara. Ada negara yang sebelum PRU lagi sudah huru-hara.

Maka saya mengambil keputusan untuk menulis sedikit sebanyak mengenai politik secara am. Saya akan cuba untuk menulis dari sudut yang tidak berpihak, akan tetapi untuk menjadi tidak berpihak secara mutlak adalah mustahil. Ini kerana jika penyokong parti A adalah satu pihak, penyokong parti B adalah pihak yang lain; maka yang berpendirian untuk berada di tengah-tengah adalah pihak yang ketiga.

Oleh itu saya akan cuba untuk bersikap sejujur mungkin tanpa terlalu berat sebelah akan tetapi sudah tentu kecondongan untuk berpihak itu tidak dapat dielakkan. Maka saya memilih untuk berpihak kepada anti-fitnah. Tidak kira di mana-mana pihak.

Untuk kali ini, saya akan memberikan pendapat peribadi mengenai isu pengundi hantu. Sudah semestinya isu yang paling hangat yang popular setiap kali PRU di Malaysia. Ketika ini isu pengundi hantu sedang rancak dimainkan di laman2 sosial dan media internet. Ada lagi beberapa isu tetapi saya akan fokuskan kepada pengundi hantu ini dahulu.

Adakah mungkin BN menggunakan pengundi hantu pada PRU13 ini?

Jawapannya. Mungkin, tapi amatlah sukar. Malahan adalah tindakan membunuh diri bagi BN. Akan saya huraikan di bawah. Jika anda tidak bersetuju dengan pendapat saya tadi, itu adalah pilihan anda akan tetapi adalah baik jika anda membaca analisa2 dari pihak2 yang tidak selari dengan aliran fahaman politik anda supaya anda boleh berfikir dengan lebih dalam.

Tidak perlu menjawap jawapan A, B atau C. Tidak juga perlu memberitahu sesiapa apa yang anda putuskan. Hanya perlu membaca dan berfikir sejenak. Kerana kita ini adalah umat akhir zaman, di mana fitnah menjadi semakin mudah disebarkan. Sedar ataupun tidak, kadangkala kita juga secara percuma menyampaikan fitnah-fitnah yang kita sendiri pun tidak tahu siapa pemulanya.

Ini adalah huraian kenapa saya berpendapat bahawa teramatlah sukar jika BN ingin menggunakan "khidmat" pengundi hantu.

1) Serangan "pengundi hantu" terhadap BN telah lama bermula.
Anda ingat bila masa PRU atau PRK yang isu pengundi hantu tidak diangkat sebagai isu utama? Tidak? Ini adalah kerana isu pengundi hantu ini adalah isu yang sudah dikira "wajib" setiap kali PRU/PRK. Malahan isu ini telah bermula semenjak zaman anwar ibrahim masih di dalam UMNO.

2) Penglibatan pelbagai pihak bagi menjayakan rancangan pengundi hantu.
Ini bukan hanya bermaksud kerjasama antara BN, SPR dan Polis; malahan lebih luas dari itu. Mari kita fikir sejenak cara pengundian pada PRU13.

-Pengundi sudah mendaftarkan nama dan di dalam senarai pengundi di tempat yang khusus.
-Pengundi mempunyai kad pengenalan.
-Pengundi memasuki kawasan pengundian yang dikawal oleh polis. Malahan ada "pemerhati" sukarelawan dari pakatan rakyat.
-Pengundi membuat semakan awal untuk menentukan saluran pengundian. Antara 3-4 orang yang membuat semakan.
-Pengundi memasuki saluran pengundian. Ada 3 orang yang akan membuat semakan tambahan, mengecat jari, menyerahkan kertas undi. Juga terdapat wakil dari calon yang bertanding memerhatikan proses semakan hingga selesai pengundian.
-Pengundi yang telah dicat jari beredar.

Proses ini adalah mengikut pengalaman saya mengundi tempoh hari. Jumlah petugas mungkin berbeza mengikut kapasiti atau kepadatan penduduk. Sekarang kita andaikan jika seorang warga Myanmar yang ingin diupah untuk menjadi pengundi hantu.

a) Adakah warga asing tersebut kenal siapa yang menjadi ahli politik pada parti yang mana? Adalah dimaklumkan (sehinggakan menjadi bahan jenaka) bahawa warga asing ini, Perdana Menteri Malaysia pun mereka tak kenal, tetapi diupah oleh BN untuk memenangkan BN.

Nampakkah anda ironinya? Warga asing bukan sahaja tak kenal, malahan mungkin tidak ambil tahu siapakah ahli politik di dalam negara kita ini. Saya yakin mereka hanya kenal anggota-anggota beruniform seperti polis, imigresen dan sebagainya kerana anggota-anggota beruniform di seluruh dunia pasti ditakuti oleh sesiapapun yang berstatus warga asing.

Jika pemimpin-pemimpin negara yang popular pun mereka tidak kenal, apakah kemungkinan bagi mereka untuk mengetahui siapa yang mewakili parti atau pertubuhan apa? Adakah pengupah mereka akan berbaju parti? Itu pasti tindakan bodoh, malahan mungkin taktik untuk mengumpan dengan niat memfitnah.

Pernahkah anda ingat peristiwa ketika PRU/PRK yang lepas di mana heboh seketika di akhbar alternatif dan media internet mengenai beberapa rumah menerima salinan fotostat wang di dalam sampul yang tertulis (lebih kurang) "Terima kasih kerana mengundi Barisan Nasional". Adalah kerja bodoh meletakkan salinan fotostat wang yang meminta orang ramai mengundi BN. Itu memang nak cari nahas. Memang ada yang mempercayai bahawa BN "menipu" bakal pengundi dengan mengepil wang palsu, tapi jika difikirkan secara waras, ini adalah kerja pihak yang ingin memfitnah BN.

Berbalik pada pengundi hantu. Ada yang menceritakan bahawa pengundi hantu ini dibayar kurang dari apa yang dijanjikan untuk mengundi BN, dan kad pengenalan disediakan pada pengundi-pengundi hantu ini.

Sudah semestinya pengundi hantu (jika wujud) dibayar secara tunai. Yang menjadi persoalan adalah bagaimanakah mereka di bayar. Adakah sebelum atau selepas mengundi.

Apa bukti yang diperlukan oleh si pembayar untuk memastikan bahawa pengundi hantu tersebut telah melaksanakan tugas? Pastinya si pembayar tidak akan tahu siapakah yang benar-benar akan diundi oleh pengundi hantu tersebut kerana hanya pengundi sahaja yang boleh memasuki saluran mengundi. Maka secara waras, si pengundi tersebut perlu dicalit jarinya dan menyimpan slip kertas undi sebagai bukti.

Jika pengundi hantu dibayar sebelum mengundi, maka si pembayar mengambil risiko si pengundi hantu tidak melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Si pengundi hantu boleh lari, atau tertangkap oleh anggota penguatkuasa, atau lebih dahsyat, ditangkap oleh "pemerhati sukarela" pakatan rakyat. Jikalaupun si pengundi hantu berjaya memasuki saluran pengundian, dia mungkin memangkah parti yang lain.

Pengundi hantu tersebut pertamanya perlu beratur untuk semakan awal. Di kebanyakkan tempat, terutamanya di kawasan dap bertanding, ramai warga Malaysia yang berbangsa india muslim, sikh malahan anak cindia (campur cina india) yang menjadi mangsa "tapisan" "pemerhati sukarela" yang telah bersedia dengan kemungkinan pengundi hantu dari Bangladesh. Ini tidak termasuk si pengundi hantu perlu "hati kering" untuk berhadapan dengan pihak penguatkuasa seperti polis yang berkawal sepanjang pengundian.

Katakan si pengundi hantu berjaya lepas halangan pertama. Dia kemudian perlu pergi ke semakan awal untuk nama dan kad pengenalan untuk mengetahui saluran pengundian. Di sini persoalannya, adakah kad pengenalan yang diberikan sudah didaftar? Adakah gambarnya telah ditukar kepada si pengundi hantu? Jika mengikut cerita pro-pr, kad pengenalan diberikan hanya untuk mengundi kemudian perlu dipulangkan semula. Jika kad pengenalan tersebut telah didaftar, adakah dia dihantar ke tempat pengundian DUN/Parlimen yang betul? Adakah nama di dalam kad pengenalan itu sesuai dengan raut muka pengundi hantu itu? Jika ada salah satu persoalan di atas yang jawapannya adalah "tidak", maka pengundi hantu tersebut memerlukan tuah, ataupun memerlukan si pemeriksa semakan awal yang seramai 3 orang itu untuk "bekerjasama" dengan pengundi hantu tersebut. Harap anda boleh tangkap maksud saya.

Baiklah, katakan si pengundi hantu terlepas proses semakan awal dengan apa cara sekalipun dan telah diberitahu saluran yang perlu dia pergi untuk mengundi. Di saluran pengundi itu, si pengundi hantu perlu pergi ke petugas yang menyemak senarai pengundian menggunakan kad pengenalan yang dibekalkan kepadanya. Di sini petugas akan menyebut nama dan nombor kad pengenalan si pengundi hantu dengan kuat supaya wakil calon bertanding boleh membuat semakan silang terhadap si pengundi. Oh, anda terlupa di dalam saluran pengundi ada wakil-wakil calon bertanding?

Di sini si pengundi hantu perlu menghadapi dugaan yang sama seperti di atas, akan tetapi dengan cabaran tambahan iaitu berhadapan dengan wakil-wakil calon yang sentiasa ingin mencari kesalahan parti lawan, lebih-lebih lagi yang melibatkan pengundi hantu. Persoalan di sini, adakah wakil-wakil calon bertanding tidur? Atau leka membuat perkara lain? Agak mustahil kerana dikhabarkan bahawa di kawasan yang ditandingi dap, wakil-wakil dari dap malah menyediakan lampu picit oleh kerana bersedia untuk kemungkinan "black out". Bagaimana mereka boleh tahu jika akan ada "black out"? Wallahu a'lam.

Andainya si pengundi hantu berjaya mendapatkan kertas undi. Maka berkemungkinan besar setiap petugas termasuk wakil-wakil calon telah "bekerjasama" dengan baik. Maka di sini terpulang kepada si pengundi hantu untuk menentukan arah tuju kepimpinan negara. Mungkin dia telah menghafal lambang dacing.

Selesai mengundi, si pengundi hantu perlu berjumpa si pembayar ataupun wakil si pembayar untuk memulangkan kad pengenalan yang telah disediakan. Jika bayaran dibuat setelah selesai tugas pengundi hantu untuk mengundi, maka si pengundi hantu perlu menunjukkan bukti seperti jari yang dicalit serta memberikan slip kertas undi. Akan tetapi itu belum cukup membuktikan bahawa si pengundi hantu telahpun mengundi BN.

Tugasan pengundi hantu selepas. Duit bertukar tangan. Maka di keputusan PRU13, keputusan BN lebih teruk walaupun undi kepada UMNO meningkat. Lebih banyak kerusi parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC tumbang dari 2008.

Demi undi keputusan yang tidak menarik ini, BN perlu membuat kerja "harakiri" di dalam situasi kerajaan BN senantiasa dipersalahkan oleh warga mahupun pihak2 antarabangsa. Adakah ianya berbaloi? Atau persoalan yang lebih tepat lagi, adakah ianya perlu?

Berkemungkinan, yang lebih mudah, ada pihak2 tertentu ingin menjerat kerajaan BN, mengupah pihak-pihak tertentu dengan memberitahu "pengundi hantu" ini telah dibayar oleh BN. Jika mereka tertangkap, lebih baik. Mudah kan?

Ini belum lagi kita berbicara tentang jumlah pengundi yang diperlukan, dinisbahkan dengan jumlah wang yang perlu dilaburkan, serta jumlah pihak-pihak yang perlu terlibat demi menjayakan rancangan gila ini.

Ingatlah, kita berada di zaman fitnah. Dengan sekali klik, kita boleh menyumbang kepada penyebaran fitnah. Berfikirlah secara waras. Jangan menjadi tentera dajjal secara sukarela.

Wednesday, December 12, 2012

Buah fikiran: Persediaan menghadapi bencana - konflik kemanusiaan

Ada pelbagai situasi bencana yang memerlukan tindakan yang berbeza. Contohnya situasi banjir memerlukan perpindahan segera manakala situasi peperangan antarabangsa memerlukan tempat persembunyian yang selamat. Walaubagaimanapun bagi menghadapi apa jua jenis bencana, persediaan dan bekalan adalah penting.

Bencana yang berbentuk semulajadi adalah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, taufan dan sebagainya. Kelebihan Malaysia adalah terlindung dari bencana seperti gempa bumi dan gunung berapi akan tetapi keadaan Malaysia yang hampir dikelilingi oleh lautan membuatkan ancaman tsunami menjadi satu kemungkinan. Sungguhpun begitu kawasan pantai timur lebih terdedah dan berisiko tinggi kepada tsunami berbanding di kawasan Selat Melaka.

Bencana yang lebih berkemungkinan malah lebih berbahaya adalah konflik kemanusiaan seperti peperangan, rusuhan dan sebagainya. Malangnya negara kita pernah mengalami kesemuanya. Peperangan domestik (Komunis), peperangan antarabangsa (penjajahan British, Jepun, konfrantasi Indonesia), rusuhan (Memali, 13 Mei, Bersih) malah tidak mustahil kita akan mengalaminya sekali lagi. Dengan keadaan politik yang senantiasa diuji dari dalam negara dan luar serta perpecahan dalam masyarakat yang makin diraikan, sukar untuk menidakkan bahawa konflik domestik akan terjadi. Manakala konflik negara kita dengan negara lain agak sukar memandangkan negara kita dihormati oleh negara-negara sahabat. Akan tetapi, jikalau terjadi konflik domestik, ianya akan membuka ruang kepada konflik antarabangsa di atas nama "hak asasi", "demokrasi" dan sebagainya.

Kali ini saya akan cuba mendalami persediaan bagi menghadapi konflik kemanusiaan. Sungguhpun begitu ini juga boleh disesuaikan dengan bencana yang lain.

Antara persediaan yang perlu ada ialah:
1) Tempat berkubu.
Ini bukanlah "kubu" dalam erti kata binaan seperti kubu pertahanan, akan tetapi ia adalah tempat yang sesuai untuk berlindung ketika konflik. Rumah anda ketika ini mungkin sesuai sebagai tempat berkubu. Sesuai atau tidak sesuatu tempat itu menjadi tempat berlindung bergantung kepada faktor geografi, kejiranan, perhubungan jalan darat dan yang agak penting, kemahiran anda tentang selok-belok sekitar kawasan tersebut.

Faktor geografi adalah seperti kedudukan tempat berkubu tersebut. Adakah di kawasan bukit, pergunungan, pantai dan sebagainya. Kawasan tanah tinggi tidak dinafikan mempunyai kelebihan dari segi memerhatikan persekitaran dalam jarak yang jauh. Malah jika menggunakan binokular, jarak yang lebih jauh boleh diperhatikan. Akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu difikirkan. Jika berada dalam konflik peperangan domestik, kita mungkin hanya akan terdedah kepada ancaman senjata buatan sendiri dan tidak begitu moden seperti pedang, parang, panah, senapang/pistol buatan sendiri. Ancaman juga berkemungkinan besar datang dari orang-orang yang kurang terlatih dalam seni peperangan. Masalah utama adalah untuk membezakan siapakah kawan dan siapakah yang menjadi ancaman kerana konflik adalah di antara sesama kita.

Berbeza dengan situasi konflik antarabangsa. Sekiranya peperangan berbentuk antara negara, kawasan tinggi memungkinkan tempat berkubu tersebut akan lebih terdedah dengan pengintipan dari udara mahupun serangan udara. Dan musuh juga mempunyai keupayaan tinggi seperti alat untuk mengesan teropong (sniper scope detector, namun boleh juga mengesan binokular), "thermal detector" dan sebagainya. Musuh juga lebih terlatih dalam seni peperangan.

Ini juga adalah berkait rapat dengan kejiranan. Suatu ketika dahulu penduduk sesebuah kawasan tanpa mengira perbezaan ideologi politik akan senantiasa bekerjasama dalam hal-hal berkaitan dengan kejiranan seperti kenduri-kendara dan sebagainya. Ini menyebabkan sebarang konflik domestik mudah padam kerana sifat kemanusiaan masih tebal dalam diri. Ini juga disebabkan kerana di negara ini bangsa Melayu itu mestilah beragama Islam, maka sifat pemaaf muslim itu cepat meredakan konflik sesama bangsa. Ini agak berbeza jika konflik domestik itu berdasarkan perkauman. Mungkin kerana faktor provokasi berpanjangan dan dendam yang masih ada terhadap peristiwa lampau. Dalam hal ini kejiranan tempat anda memainkan peranan. Sekiranya anda seorang muslim dan tinggal di kawasan yang majoritinya bukan muslim, risiko untuk terjebak dalam kancah perbalahan itu lebih besar kerana dalam situasi konflik kaum/agama, sentimen akan memainkan peranan yang utama dan sifat curiga akan menebal.

Namun jika konflik bersifat antarabangsa, ada kemungkinan kebanyakan warga bersatu demi mempertahankan bumi tercinta. Sifat kenegaraan, jika disemarakkan dengan betul mungkin boleh membangkitkan perasaan ingin berjuang. Maka pendapat saya konflik antarabangsa di negara ini hanya akan terjadi sekiranya konflik domestik sudah tidak terkawal. Ini sudah dibuktikan di Iraq dan juga di Libya di mana campurtangan antarabangsa untuk meranapkan sesebuah negara dibajai oleh konflik dalaman. Di Mesir pula konflik dalaman lebih hebat hinggakan tidak perlu campurtangan kuasa asing secara berdepan untuk meranapkan negara itu (sudah semestinya konflik domestik itu dibiayai oleh kuasa asing, tetapi ini adalah secara rahsia/covert).

Oleh itu adalah penting untuk kekal hidup harmoni walaupun berbeza idea. Tapi di zaman sekarang masyarakat akan senantiasa dipecah-pecahkan mengikut pelbagai tajuk (parti politik, negeri, agama, bangsa, pasukan bola kegemaran, suku dsb) maka situasi dahulu dan sekarang sudah tidak sama. Sekarang sudah ada orang islam mengkafirkan orang islam yang lain kerana berlainan parti.

Berbalik kepada tajuk (saya memang sentiasa terkeluar dari tajuk...). Perhubungan jalan darat juga penting dalam memilih tempat berkubu. Ini kerana ada masanya kita akan terpaksa melarikan diri sekiranya konflik berjangkit ke kawasan kejiranan kita. Sekiranya kita berkubu di kawasan yang terpencil, kemungkinan kita akan hanya ada 1-2 jalan keluar dengan kenderaan dan jika jalan-jalan tersebut terletak di kawasan berisiko tinggi, maka mungkin kita akan terpaksa menggunakan jalan-jalan lain yang tidak boleh ditembusi oleh kenderaan. Ini akan menyebabkan kita terpaksa meninggalkan bekalan-bekalan yang penting seperti ubat-ubatan, makanan dan sebagainya.

Jalan-jalan keluar ini memerlukan anda mahir tentang selok-belok kejiranan. Tidak merugikan sekiranya mulai sekarang kita pergi ke tempat kerja dengan mencuba jalan yang baharu. Juga bersiar-siar di sekitar kejiranan dan kawasan berhampiran untuk mengenali dengan lebih lanjut kawasan sekitar. Lebih mudah, beli sahaja alat GPS dan masukkan peta Malaysia yang baharu. Sekiranya keadaan konflik memerlukan kita untuk melarikan diri, sekurang-kurangnya kita ada petunjuk ke mana kita boleh pergi demi kelansungan hidup.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, tempat berkubu boleh jadi rumah anda sekarang, kebun durian di kampung, ladang kambing anda dan sebagainya. Selain dari faktor-faktor di atas, pastikan tempat berkubu anda mudah untuk dipertahankan serta mudah untuk ditinggalkan jika perlu.

Tempat berkubu juga tidak semestinya sebuah bangunan kepunyaan anda. Ada juga cadangan dari rakan yang mengatakan bahawa untuk cuba berlindung di kem tentera, kawasan pengasingan (contohnya kampung-kampung baru, di mana didirikan untuk mengasingkan bangsa-bangsa yang berbalah ketika konflik antara kaum dahulu), khemah pelarian (sekiranya konflik merebak dari domestik kepada antarabangsa). Namun masih ada kebarangkalian yang perlu dikaji seperti:

Kem-kem tentera mungkin tidak akan menerima sebarang orang awam yang bukan berkaitan dengan mereka. Semestinya ketika konflik domestik mereka berada dalam keadaan waspada dan akan mencurigai kehadiran pihak tidak berkenaan. Kem tentera juga akan terdedah dengan serangan tak kira ketika konflik domestik mahupun konflik antarabangsa. Mungkin juga pihak tentera akan menguatkuasakan arahan "shoot on sight" kepada orang luar demi melindungi kawasan berkepentingan.

Kawasan pengasingan pula mungkin didirikan hanya untuk kes-kes berunsur perkauman. Untuk konflik antarabangsa pula pihak kerajaan mahupun tentera pasti tak cukup tangan untuk melaksanakan kawasan pengasingan ini. Maka khemah pelarian lebih berkemungkinan untuk didirikan dalam situasi ini.

Walaupun begitu, faktor negara jika perlu diambil kira dalam perlaksanaan khemah pelarian ini. Kita perlu ingat bahawa negara kita dikelilingi oleh negara sekular mahupun kafir. Pemberontakan islam di Thailand serta Filipina memungkinkan muslim di negara ini akan menghadapi kesukaran sekiranya khemah pelarian berada di negara tersebut. Tak lupa juga umat islam Rohingya yang sehingga kini sedang cuba dihapuskan di Myanmar. Manakala Indonesia pernah cuba men"ganyang Malaysia" suatu ketika dahulu dan sehingga kita negara kita dan mereka sering diapi-apikan dengan pelbagai provokasi demi melemahkan persaudaraan sesama dua negara.

Silakan komen untuk pandangan anda.