Wednesday, October 17, 2012

Bug Out: Dengan siapa?


Kali ini saya akan cuba menterjemahkan buah fikiran mengenai kaedah Bug Out dengan (semoga) lebih terperinci. Diingatkan bahawa ini hanyalah buah fikiran, bukan satu kaedah rasmi berdasarkan kajian mendalam.

Dalam situasi bencana, sudah semestinya kita akan cuba menyelamatkan orang yang hampir dengan kita. Ahli keluarga paling rapat seperti isteri dan anak-anak pasti menjadi keutamaan. Adalah naluri seorang manusia biasa untuk melindungi keluarga dalam keadaan sebegini. Akan tetapi, walaupun satu keluarga itu mampu untuk "bug out" dari situasi bencana, rancangan "bug out" akan lebih tersusun dan peluang kelansungan hidup mungkin lebih cerah jika dilakukan secara berkumpulan. Ini bermaksud 2 atau lebih keluarga bekerjasama dalam melaksanakan rancangan "bug out".

Ambil situasi ini, keluarga saya ada 4 orang (menuju ke 5 insyaAllah). Saya sebagai ketua keluarga, isteri dan 2 anak kecil berumur 2 tahun dan 1 tahun. Semestinya keselamatan 3 orang ahli keluarga itu terletak di bawah bahu saya. Ini kerana mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada saya sebagai ketua keluarga. Sekiranya terjadi sebarang bencana, saya akan diharapkan agar membimbing ahli keluarga dari segi kelansungan hidup. Ini bermakna saya perlu memastikan tempat berkubu adalah selamat, bekalan makanan dan minuman yang mencukupi serta keupayaan untuk membawa mereka melarikan diri sekiranya kawasan berkubu tidak lagi selamat.

Bagaimana jika saya sakit? Maka akan ada kesukaran bagi ahli keluarga untuk menghadapi keadaan sebegitu. Jika isteri ada kemahiran membawa kenderaan, keadaan mungkin lebih menyenangkan, akan tetapi bagi beliau untuk menjaga kedua-dua anak kecil sendirian mungkin sukar. Inilah perlunya kerjasama dari saudara-mara atau rakan yang hampir. Melainkan anda seorang bujang tanpa apa-apa tanggungjawap, anda takkan boleh lari dari keadaan ini.

Tambahan pula, saya hanya bekerja di bidang Teknologi Maklumat. IT. Komputer. Saya kurang arif tentang enjin kereta, Saya juga kurang arif tentang selok-belok jalan sekitar Lembah Klang walaupun saya bekerja di sini bertahun-tahun. Saya mengaku, banyak yang saya tak tahu. Ini jugalah kelebihannya jika ada sahabat yang mempunyai kemahiran yang anda tidak ada. Tidak juga dinafikan jika terlalu ramai, sukar untuk memastikan kehendak kesemuanya dipenuhi tambahan pula jika sebahagian besar orang yang ada hanya tahu duduk dan mengharap tanpa berusaha. Itu hanya akan menambahkan beban yang perlu dipikul dari sepatutnya.

Jadi apakah yang perlu dilakukan oleh kita? Doa. Itu yang pertama. Kemudian carilah ilmu. Semua perkara memerlukan ilmu. Cara menyimpan bekalan makanan, cara membawa kenderaan, kemahiran memanah, selok-belok jalan sekitar Malaysia, jenis herba-herba dan kegunaannya. Tak terkira banyaknya ilmu yang boleh dipelajari. Kita jangan hanya memikirkan "adakah dia layak berada di dalam rancangan "survival" ini", sebaliknya pastikan kita sendiri cukup berilmu hingga diperlukan oleh kumpulan "survival" yang lain.

Secara ikhlas, setakat ini saya hanya dapat meyakinkan isteri mengenai keperluan persiapan menghadapi bencana ini. Saudara-mara yang lain kurang berminat. Mungkin kehidupan terlalu selesa, atau terlalu penuh dengan aktiviti. Seperti rakan sealiran yang lain, kami tidak mengharapkan sebarang bencana berlaku ke atas tanahair tercinta ini. Akan tetapi, lebih baik bersedia walaupun tidak berlaku apa-apa, daripada terjadi sesuatu dan tidak bersedia.

2 comments:

  1. Sekurang-kurangnya anda sedang mempersiapkan diri. Itu lebih baik daripada berjuta-juta manusia lain yang masih terbuai lena di Malaysia.

    Bayangkan berjuta anak-anak kecil di seluruh Malaysia sekarang yang entah apa nasib mereka sekiranya berlaku sesuatu. Sekiranya yang terbuai lena itu insan dewasa at least mereka masih boleh cuba mencari jalan untuk survive. Kalau anak-anak kecil itu pula bagaimana? Apatah lagi jika ibu-bapa mereka tewas ketika sedang menghadapi situasi itu?

    Pernah lihat file animasi "Death of the Firefly"? Sila lihat filem itu dan bayangkan watak dua kanak-kanak di dalam filem itu adalah anak-anak kita.

    Saya besok akan ambil "vacuum sealer" yang saya order di internet minggu lepas dan akan start packaging beras, ikan bilis dan ikan kering. Memang teruk juga jadi prepper ni sebab saya dah habis RM7K bina bilik di kampung mertua saya dan RM9k untuk beli kereta Kancil secondhand untuk tujuan bug out (sebab kancil jimat guna petrol). Saudara-mara saya pun macam saudara mara awak yang konfiden tak ada apa-apa akan terjadi. Mudah-mudahan tak ada apa akan terjadi tapi yang pasti tak rugi jadi prepper. Lebih baik simpan beras daripada simpan kertas di bank. Kertas tu bukan boleh makan pun kalau sistem perbankan runtuh.

    ReplyDelete
  2. Kalau anime macam yang awak post kat FB tu, saya dah tengok, tapi mungkin masa tu tak mengaitkan cerita tu dengan kehidupan sebenar, jadi kesannya hanya kepada menikmati kecantikan cerita anime tu sendiri.

    Saya masih lambat dalam prepping ni. Betul-betul permulaan yang lewat. Kena ucap terima kasih kerana post awak menyedarkan saya. Sekarang nak kena buat rancangan dengan teliti, dah laksanakan persediaan secukupnya. Tak lupa juga kemaskini laman ni supaya idea saya tak hilang.

    ReplyDelete