Thursday, October 18, 2012

Bug Out: Sebuah cereka.


Pada pendapat saya. 3-4 keluarga adalah jumlah yang sesuai sebagai satu kumpulan "survival". Dengan syarat setiap keluarga mempunyai kemampuan untuk meneruskan hidup secara sendiri jika terpaksa. Ini adalah penting untuk memastikan agar tiada keluarga yang menjadi beban kepada seluruh kumpulan. Perlu ditekankan semula bahawa ini adalah pendapat peribadi.

Saya berikan satu senario andaian. Semoga cerita khayalan ini tidak menjadi nyata. Sejujurnya, keadaan politik di negara kita kurang menyenangkan. Kerajaan yang terlalu berlembut, hinggakan tidak bertempat; dan juga pembangkang yang terlalu mementingkan kuasa hinggakan sanggup melakukan apa sahaja. Kebenaran ini tidak dapat dinafikan. Ambil contoh Bersih 2.0 dan beratus-ratus lagi perhimpunan, aman atau tidak, mega atau tidak; ini semua berdasarkan kebencian satu pihak kepada pihak yang lain. Hinggakan walau lidah menyebutkan penyatuan islam, akan tetapi orang-orang mengaku islamlah yang paling hebat memecahbelahkan sesama umat.

Mungkin, diulangi mungkin, selepas PRU13 nanti, jika BN mengekalkan kuasa, rangkaikan perhimpunan ganas akan berlaku oleh pihak yang kalah demi kerana mengekalkan persepsi / pandangan bahawa kerajaan itu layak ditumbangkan. Dan jika BN kalah, rangkaian perhimpunan ganas akan berlaku oleh pihak yang menang demi kerana ingin mencuba kuasa yang telah berjaya digapai dan mungkin juga demi untuk menuntut hutang darah (yang tidak pernah ada) dari pihak-pihak penyokong kerajaan lalu. Atas apa pun alasan, pasti ia akan dikawal oleh kuasa lain.

Lihat contoh kerajaan Terengganu yang bilamana pernah dimenangi pembangkang, bangunan kerajaan negeri dikepung sepertimana PRU12 di mana Selangor dimenangi pembangkang, bangunan kerajaan negeri juga dikepung oleh penyokong-penyokong pihak yang baru merasa menjadi penguasa. Disebaliknya di Pulau Pinang, Gerakan dan DAP secara hormat mengalihkan kuasa. Tak perlu pelik. Seperti yang saya nyatakan, orang-orang yang mengaku islamlah yang paling hebat memecahbelahkan sesama umat.

Kembali kepada senario andaian. PRU13 sudah tamat. Rantaian perhimpunan jalanan sudah tidak dikawal. "Terima kasih" kepada Arab Spring, pihak-pihak pemberontak di Malaysia sudah berleluasa. "Terima kasih" kepada pegangan ekonomi bangsa Melayu, bekalan makanan sudah menyusut setelah 1-2 minggu himpunan jalanan berterusan. "Terima kasih" kepada keangkuhan segelintir orang-orang yang mengaku islam, kawan dan lawan sudah tidak dapat dibezakan. Darah yang sudah dihalalkan untuk ditumpahkan sudah mula tumpah. Saudara seagama yang "dikafirkan" sudah mula dihukum.

Saya sekeluarga sudah berkubu, ada bekalan makanan cukup untuk 4 bulan. "Bekalan makanan" di sini bukanlah makan 4 kali sehari, mahupun menu ayam masak lemak cili api dan sebagainya. Cuma cukup untuk menampung lapar demi kelansungan hidup. Bekalan elektrik semakin tak menentu. Bekalan air masih ada akan tetapi semakin perlahan. Mujur ada bekalan air disimpan dan juga cuaca yang masih mengizinkan untuk menadah air hujan. Suasana tak menentu di mana-mana. Bermula dengan atas dasar politik dan kuasa, kini huru hara sudah meliputi pelbagai alasan. Perkauman, samun, samseng, dengki, mazhab, segalanya boleh dan mengharuskan kekerasan.

Telefon bimbit masih mempunyai "signal" tapi tidak dapat menghubungi sesiapa. Nasib baik GPS dalam telefon tidak memerlukan sambungan data. Internet juga tidak berfungsi. Mungkin wayar putus, atau "internet blackout". Namun begitu perhubungan secara kuno dengan jiran masih diteruskan. Keluarga Adam, keluarga Rizal dan keluarga Osman masih di rumah masing-masing. Pastinya "kerja gila" kami untuk menjadi prepper sedang diuji. Inilah masa untuk melihat persedian kumpulan survival kami hingga ke tahap mana. Jiran-jiran yang lain, ada yang sudah lama melarikan diri, ada yang pulang ke kampung, ada juga yang terlibat dalam kekacauan mengikut acuan politik/bangsa/mazhab masing-masing. Sekali-sekala ada penyamun berkunjung di sekitar kawasan kejiranan tetapi kemahiran memanah kumpulan survival setakat ini masih dapat melindungi keluarga dan harta.

Sudah lebih sebulan kekacauan berlaku. Seperti negara Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain, campurtangan asing terhadap krisis sebegini, samada untuk memburukkan keadaaan atau meranapkan terus tidak akan dapat dielakkan lagi. Pasti ada pesta tuding-menuding di peringkat PBB. Pasti ada konglomerat carigali minyak berlumba membuat taruhan. Yang pasti, keadaan kami tidak akan pulih dalam masa singkat. Di kejauhan sudah mula terdengar bunyi senjata ringan. Darurat? Sudah pasti. Dikuasai oleh siapa? Tidak lagi penting. Ketua setiap isi keluarga kumpulan survival kami akan bersidang malam ini.

Saya, Adam, Rizal dan Osman sepakat untuk "Bug Out". Destinasi? Terus ke Mekah. Memang jauh. Dalam keadaan sebegini, logik tidak lagi bermakna. Tetapi, Arab Saudi dan Malaysia masih di dalam benua yang sama. Jalan darat. Setakat ini, percubaan olok-olok kami hanya sampai ke Thailand. Itupun cuma untuk mencuba jaringan jalanraya berasingan. Sudah tidak ada masa untuk mengharapkan bantuan. Awal pagi nanti "Bug Out" bermula. Sekarang masa untuk menilai persediaan akhir.

Kenderaan:
- 2 Kawasaki KLX 150
- 1 custom motorhome berasaskan Mitsubishi Fuso 4wd (Diesel)
- 3 Isuzi Elf 4wd motorhome (Diesel)

Senjata:
- 12 compound bow pelbagai jenis
- pelbagai jenis pisau/parang/pedang

Bekalan:
Setiap motorhome diisi dengan bekalan makanan yang cukup untuk 3 bulan. Minyak telah diisi penuh cukup hingga ke Thailand manakala stok petrol Kawasaki KLX sebanyak 14 liter disimpan di Fuso.

Perhubungan:
- 7 set walkie talkie
- 4 set radio amatur di setiap motorhome

Ahli keluarga saya 5, cukup untuk dibawa dengan Isuzu Elf. Adam dan isteri mempunyai seorang anak dan seorang adik lelaki bernama Karim. Adam akan memandu Fuso dan Karim akan menunggang KLX 150. Rizal hanya berdua dengan isteri manakala Osman, isteri dan dua anak masing-masing akan berada Isuzu Elf mereka. Kami semua akan menggunakan walkie talkie.

Pukul 2 pagi adalah masa untuk bergerak. Karim, menunggang KLX 150 akan memulakan perjalanan. Berfungsi sebagai amaran awal, dia akan memastikan jalan di hadapan tidak mempunyai halangan serta bertindak sebagai pencari jalan. Pada hari-hari biasa, perjalanan ke utara mungkin sekitar 6 jam dari Selangor, tapi melihat situasi sebegini, ia mungkin mengambil masa beberapa hari.

Adam akan menyusul di belakang Karim dalam jarak 2+-km. Fusonya mempunyai "Kangaro Bar" yang tegap, sesuai untuk menolak rintangan di jalanraya. Saya, Rizal dan Osman akan mengekori Adam dalam jarak 10meter setiap kenderaan. Mudah untuk bertindakbalas dalam situasi kecemasan.

Penggunaan walkie talkie adalah sekurang yang mungkin. Dalam situasi peperangan, ada kemungkinan siaran radio akan dipintas jadi kami menggunakan arahan tangan untuk memberitahu sesuatu. Manakala Karim akan menggunakan bunyi ketukan setiap 5-10 minit secara rawak untuk memberitahu bahawa keadaan masih baik.

Kami mengelak untuk menggunakan lebuhraya kerana kesukaran mencari jalan keluar darinya di masa kecemasan. Jika ke destinasi yang dekat, ia boleh dirundingkan. Kami juga mengelak untuk melalui bandar-bandar kerana itu akan menjadi tumpuan pertempuran. Perjalanan akan dilakukan di malam hari dengan pencahayaan yang minima dan jika waktu bulan cerah, kami tidak menggunakan lampu lansung.

Waktu siang adalah untuk berkubu di tempat yang tersembunyi yang hampir dengan jalanraya. Itulah masanya untuk mencari bekalan makanan, air, memasak, membersihkan diri, berehat dan merancang perjalanan berikut berdasarkan situasi semasa. Tiada lagi tidur nyenyak 6-8 jam. Ketua keluarga akan bergilir-gilir membuat rondaan kecil serta mencari bekalan. Masa itu juga salah seorang akan cuba mencari siaran radio amatur untuk perkembangan terkini dan jika bernasib baik, "signal" dari kumpulan survival yang pernah berlatih bersama kami.

Mungkin akan bersambung..

P/S: Saya cuba menulis cereka ini dengan menyelitkan informasi yang difikirkan sesuai bagi menghadapi situasi. Tapi diakui saya tidak mempunyai pengalaman dalam hal ini. Tiada latihan ketenteraan dan sebagainya. Jika ada penambahan yang lebih sesuai, sila komen semoga bermanfaat untuk dikongsi.

Wednesday, October 17, 2012

Bug Out: Dengan siapa?


Kali ini saya akan cuba menterjemahkan buah fikiran mengenai kaedah Bug Out dengan (semoga) lebih terperinci. Diingatkan bahawa ini hanyalah buah fikiran, bukan satu kaedah rasmi berdasarkan kajian mendalam.

Dalam situasi bencana, sudah semestinya kita akan cuba menyelamatkan orang yang hampir dengan kita. Ahli keluarga paling rapat seperti isteri dan anak-anak pasti menjadi keutamaan. Adalah naluri seorang manusia biasa untuk melindungi keluarga dalam keadaan sebegini. Akan tetapi, walaupun satu keluarga itu mampu untuk "bug out" dari situasi bencana, rancangan "bug out" akan lebih tersusun dan peluang kelansungan hidup mungkin lebih cerah jika dilakukan secara berkumpulan. Ini bermaksud 2 atau lebih keluarga bekerjasama dalam melaksanakan rancangan "bug out".

Ambil situasi ini, keluarga saya ada 4 orang (menuju ke 5 insyaAllah). Saya sebagai ketua keluarga, isteri dan 2 anak kecil berumur 2 tahun dan 1 tahun. Semestinya keselamatan 3 orang ahli keluarga itu terletak di bawah bahu saya. Ini kerana mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada saya sebagai ketua keluarga. Sekiranya terjadi sebarang bencana, saya akan diharapkan agar membimbing ahli keluarga dari segi kelansungan hidup. Ini bermakna saya perlu memastikan tempat berkubu adalah selamat, bekalan makanan dan minuman yang mencukupi serta keupayaan untuk membawa mereka melarikan diri sekiranya kawasan berkubu tidak lagi selamat.

Bagaimana jika saya sakit? Maka akan ada kesukaran bagi ahli keluarga untuk menghadapi keadaan sebegitu. Jika isteri ada kemahiran membawa kenderaan, keadaan mungkin lebih menyenangkan, akan tetapi bagi beliau untuk menjaga kedua-dua anak kecil sendirian mungkin sukar. Inilah perlunya kerjasama dari saudara-mara atau rakan yang hampir. Melainkan anda seorang bujang tanpa apa-apa tanggungjawap, anda takkan boleh lari dari keadaan ini.

Tambahan pula, saya hanya bekerja di bidang Teknologi Maklumat. IT. Komputer. Saya kurang arif tentang enjin kereta, Saya juga kurang arif tentang selok-belok jalan sekitar Lembah Klang walaupun saya bekerja di sini bertahun-tahun. Saya mengaku, banyak yang saya tak tahu. Ini jugalah kelebihannya jika ada sahabat yang mempunyai kemahiran yang anda tidak ada. Tidak juga dinafikan jika terlalu ramai, sukar untuk memastikan kehendak kesemuanya dipenuhi tambahan pula jika sebahagian besar orang yang ada hanya tahu duduk dan mengharap tanpa berusaha. Itu hanya akan menambahkan beban yang perlu dipikul dari sepatutnya.

Jadi apakah yang perlu dilakukan oleh kita? Doa. Itu yang pertama. Kemudian carilah ilmu. Semua perkara memerlukan ilmu. Cara menyimpan bekalan makanan, cara membawa kenderaan, kemahiran memanah, selok-belok jalan sekitar Malaysia, jenis herba-herba dan kegunaannya. Tak terkira banyaknya ilmu yang boleh dipelajari. Kita jangan hanya memikirkan "adakah dia layak berada di dalam rancangan "survival" ini", sebaliknya pastikan kita sendiri cukup berilmu hingga diperlukan oleh kumpulan "survival" yang lain.

Secara ikhlas, setakat ini saya hanya dapat meyakinkan isteri mengenai keperluan persiapan menghadapi bencana ini. Saudara-mara yang lain kurang berminat. Mungkin kehidupan terlalu selesa, atau terlalu penuh dengan aktiviti. Seperti rakan sealiran yang lain, kami tidak mengharapkan sebarang bencana berlaku ke atas tanahair tercinta ini. Akan tetapi, lebih baik bersedia walaupun tidak berlaku apa-apa, daripada terjadi sesuatu dan tidak bersedia.

Sunday, October 14, 2012

Bug Out: Salah satu persediaan menghadapi bencana.

Dalam keadaan dunia yang tidak stabil sekarang ini, di mana sesebuah negara yang damai boleh bertukar menjadi medan perang dalam sekelip mata, bagaimanakah kita dapat meneruskan kehidupan tanpa memikirkan rancangan tempoh singkat? Ada rakan-rakan yang sedang mengumpulkan bekalan makanan yang disimpan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan dan diletakkan di 2 atau lebih tempat berasingan.

Itu adalah salah satu persediaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan bencana. Tak kira peperangan, bencana alam dan sebagainya. Penyimpanan bekalan makanan adalah antara ramuan penting persediaan menghadapi tempoh sukar tatkala bencana menimpa. Akan tetapi, antara langkah yang tidak kurang penting adalah meloloskan diri dari kawasan bencana ataupun lebih dikenali dengan istilah "Bug Out".

Ada kalanya berkubu di satu-satu tempat bukanlah rancangan yang sesuai. Ini bergantung kepada tahap swakekal (self-sustaining), keselamatan dan situasi bencana yang dihadapi. Dalam contoh bencana yang melibatkan alam semulajadi seperti banjir, kebakaran hutan, gempa bumi dan sebagainya, tinggal di kawasan yang diliputi oleh bencana tersebut hanya akan meningkatkan risiko terdedah kepada bencana yang berlaku. Juga sekiranya terjadi peperangan, andai kata tempat di mana kita berkubu adalah dalam lingkungan kawasan konflik, akan ada risiko kawasan persembunyian kita itu akan digeledah malah mungkin terdedah kepada bahaya jerangkap samar, periuk api dan sebagainya.

Ini adalah keadaan-keadaan yang perlu diambil kira dalam rancangan untuk kelansungan hidup. Oleh itu usaha untuk keluar dari lingkungan kawasan bencana perlu diambil kira. Kebolehan untuk bergerak ketika bencana juga akan memberi keupayaan bagi kita untuk mencari bekalan yang diperlukan seperti air dan makanan.

Motorhome, campervan atau RV (Recreational Vehicle) mungkin adalah antara istilah yang jarang kita dengar. Mungkin juga istilah yang kurang menarik minat jika dibandingkan dengan istilah-istilah kereta mewah and motosikal berkuasa tinggi. Tidak seperti di negara kita Malaysia, motorhome adalah salah satu cara hidup yang digemari di benua Amerika Utara, Eropah, Australia dan New Zealand. Carian "Motorhome" menggunakan enjin pencari seperti Google akan dapat memberi gambaran mengenai jenis kenderaan bercirikan motorhome ini. Antara kenderaan motorhome yang menarik minat saya adalah http://isuzu-elf-motorhome.jigsy.com/four-wheel-drive-elf-motorohomes-for-sale menggunakan Isuzu.

Sudah pasti kelihatan jelas hubungkait penulisan saya kali ini. Saya akan ulas lagi mengenai ini nanti.